Nov 03, 2024 - FASSelangor FC membawa pulang tiga mata dari Stadium Darul Aman dalam saingan Liga Super 2024/25 menentang Kedah Darul Aman FC (KDA) dengan keputusan perlawanan 1-0.
Selangor memulakan perlawanan dengan trio serangan baharu iaitu Ali Olwan, Faisal Halim dan Mukhairi Ajmal di bawah kendalian sementara Abdifitaah Hassan. Asakan demi asakan dan hadangan demi hadangan berlaku namun separuh masa pertama berakhir dengan keputusan tanpa jaringan. Skuad Gergasi Merah telah menggegarkan Stadium Darul Aman di babak kedua selepas Izwan Yuslan terus menjaringkan gol tunggal perlawanan ini sebaik sahaja dibawa masuk pada minit ke-46 dengan meledak masuk hantaran yang cukup baik daripada Zikri Khalili.
Daripada perlawanan #KDASFC semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat, seperti:-
‘Cleansheet’ ke-6 Liga Super 2024/25
Barisan pertahanan; Safuwan Baharudin, Umarbek Eshmurodov, Harith Haiqal, Zikri Khalili dan Quentin Cheng serta penjaga gawang muda; Azim Al Amin telah menjaga kubu Selangor FC dengan cemerlang dalam memastikan pasukan membawa pulang tiga mata dengan tanpa bolos. Aksi terbaik mereka sekaligus membantu Safuwan Baharudin, kapten pasukan dinobatkan sebagai Man of The Match Selangor FC dalam perlawanan #KDASFC semalam. Biarpun beliau tidak dapat beraksi sehingga tamat perlawanan tetapi jelas pengalaman dan kepimpinan beliau memberi impak yang tinggi dalam perlawanan ini.
Faisal Halim kembali dalam senarai kesebelasan utama
Sejak insiden yang dihadapi beliau, Faisal atau dikenali sebagai Mickey, sentiasa berusaha keras untuk kembali mendapatkan rentak permainan beliau. Semalam beliau kembali dalam kesebelasan utama dan beraksi untuk 45 minit buat kali pertama. Menurut Abdifitaah Hassan, Mickey sudah sampai masanya untuk situasi 1v1, “Dia seorang pemain yang bagus dan dalam proses untuk kembali seperti dahulu. Saya sentiasa cuba mendorongnya semasa latihan untuk membantu beliau menjadi lebih baik dari hari ke hari. Dia juga seorang pemain yang bijak, dia tahu apa yang harus dia lakukan dengan membuat keputusan yang baik. Dia perlu lebih terdedah kepada situasi 1v1. Bagi saya, dia bermain dengan baik semalam."
Izwan Yuslan kembali menyengat
Penyerang muda, Izwan Yuslan telah dibawa masuk di separuh masa kedua menggantikan Faisal Halim. Beliau tidak lama kemudian telah meledak masuk gol kemenangan Selangor FC pada minit ke-46 semalam dengan kaki kirinya, membalas kepercayaan Abdifitaah Hassan.
Gergasi Merah masih kekal di tangga kedua carta Liga Super 2024/2025 dengan mengumpul 29 mata selepas 13 perlawanan.
Seterusnya Selangor FC akan terbang ke Korea Republik bagi aksi keempat kumpulan H Liga Juara-Juara Asia 2 menentang pasukan gergasi Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors pada 7 November 2024 di Stadium World Cup Jeonju.
Pihak pengurusan juga ingin berterima kasih buat penyokong yang hadir ke Stadium Darul Aman semalam atas sokongan yang diberikan.
Demi kebanggaan!